14 December 2010

Untuk 2 Cinta

~ Bismillahirrahmanirrahim ~

14.Disember.2010
‎3.15 am (KLIA-Kuwait) 12.00pm (Kuwait-Cairo) (..^____^..) ♥ ♥ ♥

Kurniakan hamba 2 Cinta maksima Ya Allah...

Aminn..Aminn..Ya Rabb...

06 December 2010

Cerita dari gambar.

Baru balik dari perjalanan panjang....
(..^____^..)v terimakasih semua....♥ ♥ ♥



Cactus (..^____^..)v ♥ ♥ ♥

20 November 2010

FikrahNazifa menjadi designer web.

Saya meninggalkan nota ini di dalam blog sahabat saya sebaik sudah men'design' blognya dia. Kata saya dalam nota untuknya

Assalamualaikum warahmatullah...


Alhamdulillah...akhirnya siap juga blog ni...hehehehe...sory la a azan kalau nda cantik...selamat menulis ya...semoga dengan adanya blog ni...usaha memaksimakan dakwah melalui multimedia akan semakin subur dalam dunia dakwah dengan bertambahnya satu lagi blog kalamnuraz ni...(^_^)...ok la...maattaufiqwannajah untuk imtihan...

salam sayang..
che  : http://fikrahnazifa.blogspot.com
20 November 2010

19 November 2010

Puteri Damia dan Syahrul Ridwan.

Semalam hari raya qurban. Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk anda semua yang berugama Islam Semoga kita sama-sama menghayati apa makna disebalik sambutan hari kebesaran Islam ini. Semalam saya pergi ke Majlis Qurban anjuran PMIUM dengan kerjasama Surau Al-Ikhlas. Terima kasih buat semua yang terlibat.

Untung kerana saya berjumpa seorang puteri. Puteri yang comel dan petah bercakap. Terhibur. Namanya Puteri Damia. Nama kakaknya Puteri Batrisya, dan nama adik bongsunya Putera Haras mungkin baru dua tahun lebih. Menarikkan.

Pada mulanya saya saja-saja hendak bertanya dan mengacau kedamaian jiwa kecil itu. Dek kerana bosan tidak ada lagi kerja yag boleh dibantu, saya berpindah minat kepada anak-anak kecil yang seronok bermain. Rupanya saya bertemu dengan seorang penglipur lara yang bijak berkata-kata. Tebakan yang tepat nampaknya. Dari cerita istana hingga ke cerita mahkota, kadang-kadang terselit kisah Pontianak. Lagi kisah raja, putera dan puteri hingga ke kisah permaisuri. Ada bau-bau kisah dogeng alam Disney dalam ceritanya. Yang pasti puteri seronok bercerita. Bila ada orang lain yang bercerita, dia segera merengek mahu ceritanya pula didengar. Bak kata emaknya, Damia kalau tidur sahaja berhenti dari bercakap. Banyak sungguh kisah yang ingin dia kongsikan. Puteri..puteri.. Imaginasi anak kecil. Ceritanya boleh di cd kan. Katanya istananya besar, mahkotanya pula ada blink-blink (berkilau) maksudnya, dia ada banyak harta karun. Lain lagi kisah puteri dan putera raja, ada campuran kisah the red riding hood, dan snow white,  puteri yang dimakan serigala, diselamatkan oleh nenek kebayan (entah kisah dari mana dalam Disney yang nenek kebayan jadi baik) dan berjumpa putera raja.

Kata Pengantar Saya.

Kadang-kadang ilham menulis itu datang secara tiba-tiba. Pada ketika itu yang sedihnya saya tidak langsung memegang pen dan kertas apa lagi laptop untuk terus menulis.

Sebenarnya saya mahu menjadikan menulis itu satu kegilaan, kerana saya rasa puas jika boleh menulis. Segalanya diluahkan dalam bentuk luahan yang bermakna. Satu pengkisahan mengenai secebis perjalanan kehidupan kemudian ditambah dengan sedikit ramuan agar boleh dijadikan teladan dan pengajaran bersama. Namun sehingga kini saya masih belum mampu silap mungkin belum berusaha menjadikannya kegilaan.

Ketika saya membaca kata pengantar dari buku ‘agar bidadari cemburu padamu’ karya Salim A. Fillah (seperti nama yang tercatat dimuka depan buku) yang dalam kata pengantarnya ditulis Salim Akhukum Fillah-Salim saudara lelaki kamu kerana Allah-yang sudah pun mencapai cetakan kesebelas sejak Jun 2004 dan sehingga bacaan saya Jun 2008 yang sudah mendapat anugerah best seller dan entah sekarang sudah 2010-cetakan keberapakah mungkin- saya jadi sangat teruja dengan gaya penulisannya yang bersahaja.

29 October 2010

FikrahNazifa diambang maut


Hari yang kita lalui pasti ada cerita sedih dan gembiranya. Setiap helaan nafas kita pasti ada secebis sejarah yang kita tinggalkan. Hanya kita tidak pasti apa yang kita tinggalkan itu bermanfaat untuk kita di mahkamah Allah kelak atau tidak.

Detik yang kita lalui seharusnya menjadikan kita lebih matang. Lebih memahami makna erti hidup. Manis dan lagi molek andai sekiranya ditambah dengan ramuan Taqwa sebagai penunjuk jalan di hadapan sekali. Setiap hari mengambil kira adakah apa yang kita lakukan itu menjaga hubungan kita dengan Allah atau mendahulukan hubungan sesama hamba.

Beringatlah...sakaratul maut tidakkan pernah malu-malu untuk mengintai kita. Sakaratulmaut teguh dan tetap menurut perintah Allah. Tidak seperti kita, iman kita sekejap naik sekejap turun bukan? Padahal kita sudah berusaha maintain !

06 October 2010

Metafora 'masa'


Kadang kala kita kecewa dengan 'masa'.
Kesal, dan mahu 'masa' itu kembali untuk kita..
Padahal kita lupa 'masa' itu milik ALLAH...
DIA yang maha tahu kenapa 'masa' itu diciptakan.
Dan kenapa 'masa' itu perlu ada.
Mungkin DIA menangguhkan 'masa' itu untuk diberikan kepada kita bila kita sudah benar-benar bersedia, atau mungkin benar 'masa' itu sebenarnya akan lebih membuatkan kita kecewa...
Maka DIA mentiadakan 'masa'.






Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. 
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, 
padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui
(Al-Baqarah : 216)


04 October 2010

Berjumpa Jiwa Tarbawi

Kadang-kadang saya bosan bermonolong biasa di Facebook...mungkin kurang kepuasannya...maka saya berpindah ke blog untuk mencambahkan monolog saya kepada satu idea yang boleh dibaca dengan teliti. Bukan maksud saya facebook membosankan...tidak..kerana saya pengguna tetap facebook dan hampir setiap hari saya menggunakannya. Tapi kerana ruangan kongsi idea facebook tidak sehebat FikrahNazifa saya (masuk bakul angkat FikrahNazifa ^_^), dan sebenarnya Facebook menyediakan ruang yang terhad untuk biasan idea dari sebuah frasa. Cuma nasihat saya untuk diri saya dan anda..biarlah kita menggunakan facebook dengan tujuan yang betul... Begitu juga medium-medium media yang lain.



Saya pergi ke Terengganu baru-baru ini untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat tentera-tentera Allah dalam satu Perkumpulan Tarbawi. Subhanallah.. Maha Besar Allah yang memberi izin Ijtima tersebut berlangsung dengan jayanya. Terimakasih kepada pihak penganjur.

Tuntasnya, (secara peribadi) saya perolehi satu 'advantage' daripada program tarbawi tersebut. Alhamdulillah, hadir satu perasaan kehambaan dalam diri apabila bersama-sama dengan mereka-mereka yang berjiwa tarbawi dan perjuangan. Inilah menifestasi daripada hadith Rasulullah berbunyi :

01 October 2010

Bravo ya habibi

THERE IS PALESTINNNN




SubhanalLah...
Ketika kita umur begini
Apa yang kita mampu lakukan...

Ketika kita umur begini
Di mana otak kita disimpan...

21 September 2010

Bebaskanlah mereka...

Sumber : http://solidariti-mahasiswa.blogspot.com/


Pada 29 Jun 2009 yang lalu lima mahasiswa Universiti Malaya telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina isteri perdana menteri Rosmah Mansur dengan contengan hasutan ketika dalam lawatannya ke Universiti perdana itu. Bermula dari tarikh berkenaan sehingga ke hari ini kita dapati kes ini masih belum selesai sehinggalah pada 24 september ini kita bakal menantikan keputusan dakwaan itu samaada wujud kes atau dibebaskan.

RINGKASAN KRONOLOGI SEPANJANG PERBICARAAN

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

1 JULAI 2009

OKT 1 dan 2 (Mohamad Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahrul Deen) dituduh ke mahkamah kali yang pertama dan mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dibaca di Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2) dan Mahkamah Majistret Jenayah 4 (MMJ4). Tarikh mula perbicaraan di MSJ2 ditetapkan pada 7 Disember 2009 bagi Seksyen 427,436/511 Kanun Keseksaan dan 447 manakala di MMJ4 bagi Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan pada 24 & 25 Jun 2010.

15 September 2010

Galmor Raya Feat Kuasa Bicara

"hidup kita semua adalah satu perjalanan yang menarik. kalau dijadikan cerita pastinya boleh menjadi jualan yang terhangat dipasaran sama seperti novel Laskar Pelangi karya Kang Andrea yang dipanggungkan juga mendapat jualan tiket yang menguntungkan. Tapi tidak semua daripada kita punya kelebihan untuk menceritakannya dalam gaya yang menarik. Maka biasanya cerita hidup kita selalu dijeruk dan disimpan kemas dan rapi tanpa kita sedar sebenarnya ia boleh dijadikan perkongsian dan pengajaran yang sangat menarik"

MuQaddimah sekadar pemanis bicara.

Inilah permainan kata-kata. Siapa yang paling manis bicaranya akan mudah untuk disukai tulisannya... Siapa yang tajam mata penanya akan mudah menyentuh perasaan manusia tentunya untuk tujuan keinsafan. Tapi semuanya di dasarkan kepada NIAT dan HATI.

Sama seperti kata-kata bicara. Siapa yang pandai berbicara akan mudah menambat hati pendengar lebih-lebih lagi dalam menyampaikan kuliah kepada umum. Kalau perlu tambahlah ramuannya dengan modul dan permainan. Kadang kala seseorang itu tidak perlu banyak bergerak atau menambah modul dalam bicara, cuma perlu bercakap dengan tenang dan penonjolan seluruh bual bicaranya yang berkuasa menambat hati pendengar. Tapi itu bagi mereka yang memiliki kuasa percakapan.Tapi cadangan saya untuk para penyampai dakwah yang tugasnya menyampaikan sesuatu di hadapan khalayak...perbaikilah gaya bicara anda setiap masa, ada baiknya gunakan teknik rakaman kuliah kita untuk disemak kembali dan teknik tiruan dari mereka yang lebih pakar,, tapi bukan copy paste...InsyaAllah kita akan menjadi seorang penyampai yang mampu menyampaikan dengan baik dan mampu menambat hati seluruh pendengar. Biar mungkin tidak semua hati-hati yang akan terkesan...cukuplah mereka sudi mendegar bual bicara kita dengan penuh minat. Tapi yang penting semuanya di dasarkan kepada NIAT dan HATI.

13 September 2010

Atas makna Syukur

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Salam Aidil Fitri buat semua. Minal Aidil wal Faizin. Semoga kita semua sentiasa mendahului iman dan taqwa dalam setiap perlakuan, percakapan dan niat kita.



Alhamdulillah, Syukur yang tak terhingga pada Allah. Saya bersyukur hari ini atas 3 perkara. Pertama, Syukur atas nikmat Allah kerana memberikan saya peluang untuk hidup setelah melalui madrasah  ramadhan sebulan. Syukur denga doa, moga saya masih diberi peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan seterusnya. Tamak bunyinyakan. Tapi bukankah tamak yang ini dibolehkan bahkan digalakkan. Siapa tidak mahu tamak haloba merebut rahmat dan kasih sayang Allah... mengumpul bekal ke Akhirat selagi diberikan peluang.

02 August 2010

Izinkan saya...

Izinkan saya cuma sebentar menulis mengambil sedikit masa untuk menulis di sini...Terima kasih...



Sesungguhnya Ramadhan bakal menjelma...
Sudah banyak nyawa-nyawa yang dicabut Izrael beberapa hari ini yang sampai ke telinga saya.

Melalui tragedi meninggalkan dunia tanpa kerelaan dan persediaan, giliran arwah adik Khairil. Saya terkejut dengan berita dia yang tiba-tiba jatuh dari bangunan kolej. Keluarga arwah pasti tengah bersedih. Saya yakin. Ibu mana yang tidak bersedih, ayah mana yang tidak sayangkan anak, adik, abang, kakak mana yang mahu melihat saudara seibu mereka pergi dulu apalagi dengan tragedi. Tapi itulah ajal maut ketentuan Allah. Pengajarannya.. BERSEDIA!!! Al-fatihah buat adik Khairil...Semoga ada tempat di Syurga untuk arwah..semoga alam barzakh arwah dipenuhi dengan mimpi-mimpi yang indah. AMieeN Ya Allah..

27 July 2010

Saya bersama PMIUM !!!


Saya berada di sini. Saya juga pelik kenapa saya berada di sini.

Kalaupun saya tidak berada di sana saya tetap akan memilih PMIUM. Saya tidak tahu mengapa, yang saya pasti PMIUM ada satu aura tarikan yang tidak dapat saya gambarkan hanya melalui tulisan. 

Bermula dari usrah kecil-kecilan hingga sekarang, PMIUM mengajar saya banyak perkara. Sehingga lahirlah saya sebagaimana yang sekarang. Alhamdulillah. Kerana itu kredit kepada PMIUM. Mahu tahu siapa saya sekarang berbanding dulu? (^_^) bukan siapa-siapa...saya cuma saya yang bermata dua anugerah Allah. Cuma PMIUM yang mengajarkan saya supaya menjadi begini.

Tapi saya sedih kerana saya baru dapat tahu, Puan Thana - Pegawai HEP telah memburuk-burukkan nama PMIUM. Di katanya PMIUM terlibat politik, PMIUM demonstrasi dan entah apa-apa lagi doktrinisasi yang dilemparkan kepada adik-adik di kolej. Sedihhh. Tapi aktivis PMIUM cekal-cekal hatinya. Itu Puan Thana dan semuanya harus tahu. Dan saya yakin kamu sudah pasti tahu.

26 July 2010

Moga Ramadhan jadi penenang

Esok Nisfu Sya'ban...Alhamdulillah sudah sampai kepertengahan Sya'ban... Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi menjengah Ramadhan. Tidak sabar bertemu Ramadhan. Membetulkan jiwa yang dilanda gersang. Membetulkan hati yang sentiasa resah. Membetulkan niat agar sentiasa redha dan yakin dengan apa yang telah terjadi hingga ke hari ini. Ya Allah..yang aku mahukan hanya redhaMu...Hanya RedhaMu...Hanya RedhaMu...Ya Allah...kenapa hati ini tidak mahu damai malah bertambah-tambah pula gejolaknya. RamadhanMu...Izinkan aku masuk ke dalam madrasah yang penuh keberkatan dan keampunan. Madrasah membangun jiwa, madrasah membagun hati, madrasah membangun iman. Moga aku mampu sampai ke Akhirnya. Ya Allah...sampaikanlah kami ke akhir Ramadhan Mu dengan penuh keberkatan dariMu. Ya Allah...

Monolong : Pesan bapa...

Saya suka 'Tautan Hati' .. Say juga suka 'Ketika Cinta Bertasbih' ... Tapi saya....

Hidup ini bukan hanya sekadar untuk kita memikirkan tentang apa untungnya diri kita. Tapi hidup ini adalah satu perhitungan menuju Akhirat.

Pesan bapa... jangan ada hati yang terluka...

Mungkin anakmu yang satu ini belum matang untuk membuat keputusan dalam hal-hal seumpama ini...

Tapi saya berpegang

Pesan bapa...jangan ada hati yang terluka...

Yang pesti... Allah dan Islam itu menjadi asbab kenapa begitu dan kenapa begini...

Pesan bapa...jangan ada hati yang terluka...

Sekadar asahan minda

Tahniah buat Ukhti Ferizah Abd Brahim atas anugerah pernikahan. Semoga kebahagiaan mengiringgi kehidupan antum hingga ke Syurga...amiennnn

Hampir saya cemas bila berkali-kali saya coba untuk log in tapi tak dapat. Mana tidak cemasnya, blog kesayangan saya tidak lagi boleh dimasuki oleh yang empunya. Jadi di mana lagi saya mahu menulis dan meluah rasa selepas ini. Mustahil saya untuk menukar ke blog baru memandangkan blog ini sudah sangat banyak berbakti walaupun adakala saya kurang 'membelainya' untuk sekian lama hampir beberapa purnama.

Alhamdulillah rajuknya tidak berpanjangan..Dapat!!.. Alhamdulillah. Oh jam sudah pukul 3, tadinya saya mahu membuat assingment. Tapi teringatkan blog yang sudah agak terlalu lama tidak di jengah maka saya mengambil keputusan  untuk mengambil beberapa saat untuk menulis. 

Cuma hampir 3 purnama ini terlalu banyak asam garam kehidupan yang dilalui menjadikan saya selalu mahu menulis. Mahu menaip sesuatu untuk dijadikan pedoman kehidupan. Sebagai satu catatan sejarah dalam kehidupan...tapi masih belum berkesempatan. Mungkin juga disebabkan harga minyak yang kadang kala naik dan kadang kala turun. Tapi kali ini dia naik kembali.... Sama mungkin macam iman manusia yang yazid wa yankus. MaAf..bukan saya maksudkan iman kita setara minyak...tidak..tapi tetap saja iman manusia itu yazid wa yankus. Begitu juga iman saya....

13 May 2010

Diari : Sedikit catatan tentang JAKIM


Saya berkerja di JAKIM Sabah.
Sehingga 2 julai ini sahaja.
Saya seronok duduk di sini.
Saya juga yakin saya akan dapat pengalaman yang banyak sepanjang dua bulan saya berkerja di sini. Walaupun kerja tanpa bergaji.

Bila duduk di bilik berpenghawa dingin saya rasa seperti saya sudah menjadi orang BESAR. Kalau selalunya, jangankan hawa dingin (kalau bukan di tempat kuliah) manakan ada saya merasa hawa dingin yang dingin seperti di pejabat kerajaan umpama JAKIM. Bagaimanapun saya senang duduk di sini. Saya berharap, keluar sahaja saya dari graduat nanti saya terus diterima di sini... (mohon doakan semoga saya diterima- kerana saya suka suasana di sini- biarpun kerajaan tapi suasana tidak lari dari islamik- setakat yang saya alami)

Ya saya sangat sukakan JAKIM. Pagi-pagi 8.30 kami akan berkumpul di bilik Mensyuarat dan membaca Al-Quran+mendengar terjemahan+asmaulHusna+pengumuman atau pesana penaja ops silap pesanan pengarah. Kemudian suasananya tetap dipenuhi dengan mereka-mereka yang bergelar ustaz dan ustazah. Alhamdulillah. Sebab itu saya suka di JAKIM. Setakat ini...Semoga kesukaan saya itu kekal.

-Baca di bawah jika anda aktivis dakwah-

30 April 2010

Bersama KAMMI dari Indonesia

Tiga hari ini saya berkesempatan bertemu dengan wakil dari sahabat-sahabat seperjuangan GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) dari seberang. KAMMI ( Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia). Dari namanya saja sudah membangkitkan rasa gerun kan..


Link KAMMI [Link]

Terimakasih buat KAMMI kerana sudi berkongsi banyak perkara dengan kami di Malaysia. 

Antara yang boleh saya ambil intpatinya adalah...

25 April 2010

Qiammullail @ Sipitang

Saya sangat dengan suka cita memasukkan tarikh-tarikh penting ini di sini...Sangat dengan sukacita, besar hati, dan rela sepenuhnya... 100%...saya rela...

Mungkin saya rela kerana saya mahu menumpang untuk mendapat mahar ke Syurga.. Maka saya sangat rela meletakkan tarikh-tarikh penting ini di FikrahNazifa saya.. Kalau anda semua-semua ingin tahu..hati saya bangga sebenarnya meletakkan tarikh-tarikh penting ini  di sini..Bukan kerana apa..tapi kerana mereka adik-adik saya yang berjiwa besar yang empunya program...adik-adik manis dan hendsom saya yang sangat tegar di saaaannnaaaaa Sipitang..Tahniah adik-adikku..tahniah sahabat-sahabatku..kredit untuk Kak Feriza, Kredit untuk sahabatku Mashana...Kredit juga untuk adik-adik Kelab Remaja Ukhuwah Sipitang (KRU'S) yang sangat saya rindui...Kredit untuk kalian di saaaannnaaaa Sipitang...

Tahniah,,semoga Allah memberkati dan meredhai kalian sepanjang umur kalian...

Buat warga SIPITANG seluruhnya...Juga yang sama waktu (solat) dengannya...ini ada pengumuman PENTINGGGG!!!!!

Tulisan ini untuk saya

Bismillah
Alhamdulillah...


Tulisan ini untuk saya...saya tidak mahu anda membacanya...kerana ini memang untuk saya...Tapi saya perlu menulisnya di fikrahnazifa..kerana ia milik saya..teman saya meluah rasa...walaupun menifestasinya biasanya saya terjemahkan kepada apa yang boleh kita dapat bersama...tapi sebenarnya itulah lakaran kehidupan seharian....Dan anda juga mungkin perlu melakukannya...berkongsi dengan siapa sahaja terjemahan menifestasi kehidupan seharian anda..permasalahan anda..kegembiraan anda..dan segalanya yang bersarang difikiran..untuk diluahkan..dan untuk diambil pengajaran...kata orang...bila diluahkan...lapang yang datang...

Tapi tulisan ini untuk saya..Kerana saat ini saya diserang rasa sedih yang amat..
Tulisan ini cuma untuk saya...kerana saya tengah bersedih
dan saya tidak bergembira!

Maka tulisan ini untuk saya..bukan untuk anda baca...

Saya sedih...sangat rasa sedih...macam-macam perkara berlaku belakangan ini...Sampai saya bertanya... kenapa Allah wujudkan rasa sedih..bukankah Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengasihani... Kenapa perlu ada sedih dalam kehidupan saya... sebab saya rasa sedih sekarang...

17 April 2010

Surat Cinta Untuk Kawan

Bismillah
Alhamdulillah






Saat ini saya rasa wajib untuk menulis. Jika saya tidak menulis maka tergolonglah saya dalam golongan orang-orang yang rugi kerana membiarkan 'sesuatu' yang ada di depan mata saya berleluasa. Walaupun hanya ini mampu saya. Mungkin tulisan ini adalah usaha saya dari menjadi selemah-lemah iman yang hanya mampu membenci dalam hati.

Saya tujukan tulisan ini khas untuk anda...Khas untuk anda. Bukan kerana apa...tapi kerana saya sayangkan anda. Ibaratnya..inilah surat cinta saya untuk anda. Terimalah...dengan penuh rasa kasih sayang...

Kawanku yang bernama gadis...
Manisnya kamu...sangat manis...
Beruntung kamu mempunyai wujud rupa paras yang sangat menawan. Siapa yang memandang pasti tertawan...
Percayalah...kamu ibarat sang bidadari di dunia...
Kamulah gadis pujaan teruna...

11 April 2010

Dalam Sujud Cintaku

Bismillah
Alhamdulillah

Kehidupan ini pasti akan ada kita tersasar dari landasan jalan yang sebenar. Tidak ada manusia yang sempurna akan sentiasa berada di jalan yang lurus tanpa ada sedikitpun melakukan kesilapan.

Tapi bukan bermakna kita yang melakukan kesilapan itu sudah tidak ada jalan taubat. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Panyayang. Semoga Allah sentiasa mengampunkan kita atas segala kesilapan dosa yang kita lakukan. Semoga Allah sentiasa melihat kita sebagai hamba yang mahu kepada taubat mohon ampun kepadaNya.

Saya mahu berkongsi video ini dengan anda semua kerana saya sangat sukakannya...
Hayatilah...
Semoga kita sama-sama menginsafi diri...




06 April 2010

Pesan BELIAU kepada kita...

Bismillah
Alhamdulillah


Semalam sempat berusrah dengan Ustaz Yahya Othman. Murobbi BESAR perjuangan Islam khususnya sejarah perjuangan PAS. Alhamdulillah berpeluang....akhirnya...

Ustaz Yahya Othman 'seseorang' yang alhamdulillah masih diberi Allah kesihatan untuk meninggalkan mutiara-mutiaranya lagi untuk penyambung-penyambung perjuangan Islam.

Ustaz Yahya Othman 'seseorang' yang pernah mendapat didikan terus dari Ikhwan Al-muslimin.

Ustaz Yahya Othman 'seseorang' yang wujudnya di dunia ini di infakkan untuk perjuangan.

Ustaz Yahya Othman 'seseorang' yang sangat saya kasihi dan homati...

Pesan beliau...

26 March 2010

Itu Usaha mereka, Bagaimana Kita?


Saya terpanggil untuk memberikan 'kreadit' melambung kepada wanita JIM yang sudah menubuhkan Raudhatus Sakinah. Bukan apa, semalam saya berpeluang pergi ke sana (RS). Sebenarnya mujur dek kerana assingment yang menuntut untuk saya ke sana. Jika tida, mungkin saya tidak pernah terfikir lagi untuk ke sana sehingga ke saat ini. Dhoif sungguh akal fikiran saya.

Banyak pelajaran yang saya perolehi semalam. Sempat menemuramah seorang pelatih , bukan temuramah sekadar masa silamnya bagaimana dia boleh sampai ke RS cuma, tapi pada saya semalam adalah juga diskusi pendek bersama dengan pelatih tersebut. Saya meyakini  dan beriman kepada 'sesuatu' selepas diskusi itu. (Akan saya ceritakan apa dia 'sesuatu' yang saya beriman itu)

Sebentar...terlalu banyak yang ingin saya ceritakan, mungkin saya perlu mulakan dari pengkisahan semangat yang empunya RS.

23 March 2010

Berbicara

-Menunggu yakin untuk ini..Mohon di doakan-

Ya Allah, aku tahu aku tidak layak untuk Syurga duniaMu,
Aku tidak mengharapkan apa-apa ya Allah,
Aku redha dengan apa sahaja yang Engkau tentukan,
kerana aku tahu aku tidak layak untuk meminta kebahagiaan lebih dari yang ada sekarang
Sesungguhnya Engkau lebih tahu apa yang hambaMu tidak ketahui
Engkau lebih tahu apa yang baik bagi hambaMu

22 March 2010

Cinta sampai ke Syurga

Kumpulan saya pening bila tiba waktunya untuk casting...kami sudah lambat dari tarikh sepatutnya mencari pelakon. Kerja-kerja pre-production boleh dikatakan sudah tamat waktunya. Tapi saya tidak terlalu risau kerana sahabat-sahabat kumpulan lain juga masih sama seperti kami (cuma ada yang sedikit mendahului) (^_^).

Setelah melalui perbincangan, pembentangan, pre-production yang panjang, dokumentari yang akan kami persembahkan insyaAllah membicarakan mengenai ciri-ciri pasangan pilihan(fokus lebih khusus kepada kaum adam, walaupun intipatinya juga moga difahami mafhum mukhalafah) sebagai mana sabda Rasulullah S.A.W.

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

21 March 2010

Perjuangan Mahasiswa jangan di sekat

Semalam saya baru menghadiri Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010. Kongres tersebut yang khabarnya disabotaj beberapa kali sehingga memaksa penganjur untuk berpindah tempat sebanyak hampir 3 kali. 

Pun begitu saya suka memetik kata-kata Hilman Idham, pengarah Kongres, yang juga merupakan pengerusi pertubuhan front mahasiswa (Kumpulan Anak Muda Independent-KAMI-) -hebat nama kumpulan mereka- ..beliau menyebut,
biar beberapa kali kita berpindah tempat, walaupun di jalan raya sekalipun kita tetap akan bersidang. kata beliau -MAHASISWA TETAP AKAN BERSIDANG BIAR DI JALAN RAYA SEKALIPUN-. Di sambut oleh sorakan dari mahasiswa saat itu semalam.

19 March 2010

Persahabatan kami kerana Allah


Bismillah
Alhamdulillah


Apa yang anda fikirkan bila memikirkan soal persahabatan. Apa yang terbayang di fikiran kita bila melihat wajah-wajah sahabat. Saya ingat lagi sewaktu saya berada di sekolah menengah dulu, saya selalu didatangi pening dek kerana sahabat. Mungkin sebab saya pelik melihat satu kumpulan 'kawan baik' kononya teman tawa dan sedih bersama, tapi dalam masa yang berlainan boleh duduk mencaci dan menghina kawan-kawan 'baik' mereka tanpa pengetahuan kawan. Cakap belakang@mengumpat@memburukkan kata orang kampung saya.

Itu dahulu...ketika mana saya masih kurang arif tentang makna perjuangan.

Masuk saya ke Nilam Puri seingat saya semasa saya semester tiga, saya mula merasakan satu perasaan ukhuwah yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Perasaan ukhuwah yang didasari dengan ikatan perjuangan mendaulah Islam.  Hebat sangat perasaan itu. Timbul rasa kasih dan sayang pada sahabat seperjuangan yang tidak berbelah bahagi. Rasa itu datang dibawa oleh satu latihan dan didikan dari marhalah perjuangan.

Mahu tahu rasa itu bagaimana?

16 March 2010

Seharusnya Kita Begini

Cantik tak gambar ni??? Menarik kan. 

Tahniah siapa yang melukis@ edit lukisan yang sangat indah ni...

Semoga lukisan ini akan menjadi motivasi bagi kita
untuk kekal menjadi muslimah yang indah....

Hadiah dari Allah

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah...

"Alhamdulillah..Syukur, kita masih dikurniakan Allah nikmat paling besar...Kita masih hidup dalam nikmat Iman dan Islam... berbanding orang lain yang masih hidup dalam kekafiran, berbanding orang lain yang masih hidup dalam kelalaian, berbanding orang lain yang masih hidup dalam hari-hari mereka tanpa mengingati Allah...Tapi kita..Allah himpunkan hati-hati kita dalam suasana dan keadaan yang sentiasa mengingati-Nya."

Rindu sungguh saya dengan ucapan-ucapan sedemikian. Pada ketika bait-bait itu dilafazkan pula, satu halaqah besar hampir ahlinya kepada 50 orang sedang berhimpun dalam satu surau muslimat, kadang kala melebihi dari 60 dan pernah juga mencecah bilangan 100 tambah-tambah lagi saat-saat minggu exam. (bagaimana agaknya sekarang...adakah suasana ini masih subur di Nilam Puri)

Alhamdulillah, saya diberikan Allah peluang untuk merasa kemanisan menjadi salah-seorang mahasiswa Asasi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri Kelantan. 

"Bersyukurlah kerana Allah telah memilih kamu...Dalam banyak-banyak manusia yang ada di muka bumi ini...yang ada disekitar kita, Allah pilih kamu untuk berada di sini. Allah pilih kamu datang ke sini. Rasailah bertuahnya diri kamu dengan pilihan Allah itu."

14 March 2010

Semangat wanita Kutub


8 Mac lalu saya berpeluang menghadiri satu 'talk'  oleh Datin Paduka Dr. Hajah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir. Program yang dianjurkan sempena hari wanita sedunia.

Terimakasih kepada Nisa' Malaysia kerana memberi ruang  saya ke sana. Sempat berjumpa, berbual-bual dan makan bersama dengan Doktor Rosni, Pengarah Nisa Malaysia. Senang dengan personaliti beliau yang mesra dengan suasana. COntoh ikon Muslimat berwibawa...Hidup Nisa'!!!

Masih ingatkah anda pada Datin Paduka Dr. Hajah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.
Dialah wanita yang mengejutkan Malaysia yang nekad merentasi Kutub Utara dan Selatan. Bukan hanya Malaysia tetapi juga dialah wanita Asia pertama yang mencipta rekod dunia dengan keberanian luar biasa beliau.

02 March 2010

Cinta Rindu Padamu Ya Rasulullah

Bismillah
Alhamdulillah

Selawat dan Salam Ke atas Nabi junjungan kita Rasulullah S.A.W
Baginda Penghulu segala Nabi..
Baginda Qudwah Hasanah
Baginda Pejuang teragung
Baginda Tokoh Besar dunia
Baginda kekasih Allah

Ya Allah semoga cinta dan rindu Rasulullah itu ada untuk hambamu ini...

Kita manusia biasa yang ditakdirkan ALlah tidak berpeluang untuk berjumpa dengan baginda. Kita dipilih Allah untuk hidup dalam dunia serba moden yang sangat jauh abadnya dari baginda. Kita dikurniakan ALlah hidup dalam tamadun selesa selepas usaha baginda menyebarkan Islam. Kita dianugerahkan ALlah dengan petunjuk kehidupan Quran yang disampaikan melalui baginda serta sunnah baginda sebagai qudwah sepanjang zaman.

Semoga kita anatara golongan yang mendapat syafaat Rasulullah S.A.W di Akhirat kelak






::~ Ya ALlah dosaku Menggunung Tinggi, Dapatkah Aku melalui titian Sirot-Mu nanti..sahabat Doakan ana, mampu mengecapi Syurga-Nya. kerana diri ini terlalu banyak dosa ~::

09 February 2010

Logo Baru KRU

Bismillah
Alhamdulillah

Saya teruja untuk turut sama memperkenalkan logo Kelab Remaja Ukhuwwah yang baru kepada umum. Maka saya mengambil inisiatif dengan meletakkan logo ini di blog saya. Logo KRU yang saya maksudkan adalah seperti yang anda-anda lihat di bawah ini.
Sebelum itu biar saya terangkan sedikit siapa sebenarnya KRU.

Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) [Link] adalah satu platform yang bernaung di bawah Persatuan Siswazah Sabah (PSS) [Link]. Organisasi ini bertujuan mengumpulkan anak-anak remaja di peringkat sekolah menengah yang mempunyai semangat yang kuat untuk mendalami Islam dan menyampaikan Islam. Di bawah pantauan PSS sendiri, KRU berjaya melebarkan sayapnya hingga hampir seluruh pelosok rantau-rantau di Pantai Barat Sabah diisi oleh cawangan-cawangan KRU termasuklah di daerah kelahiran saya sendiri [Link Kelab Remaja Ukhuwwah Sipitang] .

08 February 2010

Perkongsian : Pengurusan Dakwah di Malaysia

Kepentingan Pengurusan Dakwah kepada masyarakat Islam di Malaysia.
Oleh : Nazifatunnisa Salim

Pengenalan.

Aktiviti dakwah di Malaysia sejak akhir-akhir ini semakin rancak dengan penglibatan pelbagai persatuan dan institusi dakwah. Keadaan ini sebenarnya boleh dilihat sebagai satu keuntungan kepada perkembangan dakwah di Malaysia. Walaupun begitu, rancaknya usaha dakwah institusi-institusi ini adakala kurang memberi impak yang besar kepada citra penyebar-luasan dakwah itu sendiri. Keadaan ini berlaku antaranya disebabkan oleh sistem pengurusan dakwah yang kurang sistematik dan perancangan yang kurang teliti sama ada diperingkat dalaman institusi atau diperingkat kesatuan dan penyelarasan kepada usaha dakwah.

Oleh yang demikian usaha pemantauan kepada semua institusi ini sama ada yang bergerak bersendirian atau berada dalam satu organisasi di bawah kerajaan atau bukan kerajaan perlu dilakukan untuk memastikan usaha dakwah Islam di Malaysia menampakkan hasil yang memberansangkan.


Masyarakat Islam di Malaysia
 
Malaysia terkenal dengan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai adat dan budaya. Kepelbagaian ini ditambah lagi dengan komuniti masyarakat Sabah dan Sarawak yang berbilang bangsa. Kepelbagaian bangsa ini tidak menghalang dari tersebarnya dakwah Islam keseluruh pelosok Negara.

Masyarakat yang terdapat di Malaysia antaranya masyarakat Melayu yang menghuni Semenanjung Malaysia mempunyai latar belakang agama Islam sejak sebelum tertubuhnya gagasan Malaysia ketika mana penyebaran Islam giat dilakukan oleh pedagang Arab ketika itu. Sementara itu di Sabah dan Sarawak Islam mula tersebar apabila berada di bawah pemerintahan Sultan Brunei (pada awal abad ke 15) .

Pengabungan gagasan Malaysia; Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menjadikan komuniti Islam di Malaysia terbahagi kepada kepelbagaian majmuk. Walaupun begitu, penyebaran Islam juga berjalan pesat seperti mana pesatnya pembangunan Malaysia.

Kepelbagaian institusi dakwah
 
Tumbuhnya pelbagai institusi dakwah di Malaysia membantu mengiatkan lagi usaha penyebaran dakwah Islam. Institusi ini sama ada dari badan kerajaan atau bukan kerajaan dilihat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sama-sama menumpukan kepada matlamat mendaulahkan Islam terlaksana di bumi Malaysia.
Antaranya seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Islam negeri, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) dan banyak lagi yang mempunyai peranan, matlamat , penumpuan, visi dan misi masing-masing.

Walaupun begitu apa yang dibimbangi adalah pembaziran tenaga sama ada di sudut wang ringgit, manusia ataupun pelaksanaan program, projek, pembinaan pusat-pusat dakwah dan sebagainya yang sia-sia dalam usaha mereka. Ini kerana kelebihan pelbagainya intitusi dakwah ini wajar digunakan dengan sebaiknya dengan penyusunan yang lebih teratur dan sistematik untuk penghasilan impak dakwah yang lebih besar.

Pengurusan dakwah
 
Nabi kita Muhammad S.A.W memperkenalkan dakwah Islam secara berperingkat-peringkat. Bermula dari peringkat permulaan yang dilakukan secara rahsia selama 13 tahun. Setelah diyakini pengikut baginda yang ramai dan atas perintah Allah S.W.T yang memerintahkan baginda untuk memulakan dakwah secara terbuka barulah baginda menyebarkan Islam secara-terang-terangan. Begitulah sirah Rasulullah yang mengajar betapa pentingnya strategi dalam dakwah. Baginda sendiri adalah qudwah hasanah yang perlu untuk dicontohi termasuklah kepelbagaian method dakwah dan pengurusannya. 

Pengurusan dakwah boleh di bahagikan kepada pengurusan di sektor-sektor tertentu dalam aktiviti kemanusiaan. Antaranya yang boleh dihuraikan dalam artikel ini adalah berkenaan pengurusan dari sudut pendidikan, politik, wanita, dan ekonomi. 

1. Pendidikan

Pemfokusan dakwah dalam konteks pendidikan sebenarnya memberikan ruang yang besar kepada penerimaan masyarakat. Di Malaysia penerapan nilai pendidikan Islam sudah memasuki semua peringkat usia. Bermula dari peringkat awal kanak-kanak, dengan pembukaan pusat asuhan kanak-kanak Islam, pusat belajar mengaji dan sebagainya. Seterusnya di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan pembelajaran formal pendidikan agama Islam di sekolah dan seterusnya peringkat yang lebih tinggi yang menjurus kepada penglibatan diri sendiri umpamanya di universiti, kembali kepada setiap individu sama ada mahu memilih bidang pengajian agama atau sebaliknya.

Sistem pendidikan kita di Malaysia walaupun sudah berusaha menitik beratkan aspek keagamaan, namun dilihat masih belum berjaya sepenuhnya mendidik manusia mengenal Islam seterusnya membantu ke arah penyebaran dakwah Islam. Namun begitu badan-badan dakwah yang terdapat di Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mengisi kekosongan dan kelompangan yang ditinggalkan oleh badan bertangungjawab ke atas sistem pendidikan.

Jika di nilai dari sudut pembahagian tersebut, kita dapat lihat sektor-sektor pendidikan sebenarnya diisi oleh pelbagai usaha dakwah oleh badan-badan bukan kerajaan mahupun badan kerajaan lainnya. Umpamanya penubuhan tadika ABIM, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), pusat-pusat didikan tambahan agama Islam, institusi-institusi latihan dakwah seperti Darul Quran, Pusal Latihan Dakwah (PLD), pusat-pusat belajar Islam bagi golongan muallaf dan juga pondok-pondok agama.

Walaupun begitu penyatuan dan susunan sistem yang lebih sistematik perlu dilakukan untuk memastikan usaha dakwah ini memberikan impak yang maksima.

2. Politik

Badan dakwah di Malaysia yang dilihat benar-benar memasuki arena politik adalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Dari sudut pencapaian PAS, apa yang kita dapat lihat adalah apabila penguasaan mereka terhadap negeri Kelantan memberikan ruang dan peluang dakwah yang cukup besar. Sehingga ke hari ini, Kelantan terkenal dengan penduduknya yang mempunyai taraf ilmu agama yang tinggi. Malahan banyak ulama-ulama zaman lahir daripada negeri tersebut. Pengamalan budaya Islam yang tinggi di negeri tersebut juga sedikit sebanyak membuktikan bahawa PAS mempunyai sistem pengurusan dakwah yang teratur bahkan Kelantan adalah negeri yang menunjukkan peningkatan pengislaman saudara baru .

Jika dilihat Malaysia keseluruhannya, corak politik Malaysia walaupun kita mempunyai badan politik Islam PAS misalnya, namun perkembangan dakwah Islam masih belum begitu memberansangkan malahan masih berlaku peningkatan umat Islam sendiri yang keluar daripada Islam. Ini bertitik tolak juga kepada penyusunan dan pengurusan yang kurang strategik malah juga melibatkan kepentingan sesetangah pihak.

3. Wanita.

Golongan wanita mempunyai peranan yang sangat penting dalam perkembangan dakwah di Malaysia malah seluruh dunia. Frasa ‘wanita mampu mengoncang dunia’ sering kali diguna pakai sebagai satu simbolik bahawa wanita mempunyai kuasa yang sangat besar dalam percaturan rentak perjalanan dunia. Namun, sejauh mana frasa tersebut benar-benar memberikan makna yang sebenar dalam konteks dakwah?

Kita sedia maklum bagaiman Islam itu sendiri datang dan memuliakan kedudukan wanita. Jika dulu bayi kanak-kanak dibunuh hidup-hidup atas alasan lahirnya mereka hanya akan mengundang bala dalam kehidupan. Datangnya Islam yang di bawa oleh Rasulullah ketika itu mengangkat martabat wanita dan bermulanya peranan penting wanita dalam sejarah dunia. Malah Allah meningkatkan martabat wanita sehingga di dalam Al-Quran terdapat surah an-Nisa (wanita). 

Namun usaha dakwah oleh wanita sendiri masih dilihat layu. Jika dilihat dari peranan wanita itu sendiri, pertama sekali kuasa mereka sebagai seorang ibu dan pengasuh kepada anak-anak perlu dimanfaatkan semaksimanya. Bayangkan saja seandainya semua ibu-ibu mengasuh anak mereka dengan didikan dan asuhan agama yang mencukupi, pasti akan lahir dari setiap keluarga itu asset-aset insan yang benar-benar mendaulahkan Islam dalam diri seterusnya memakmurkan Negara dan dunia dengan sinar Islam. 

Yang paling menjadi keutamaan sebenarnya adalah bagaimana stategi pengurusan dakwah itu diatur sebaiknya sehingga segala sektor-sektor kemanusiaan dan juga pembahagian misi dan visi dakwah itu disusun secara sistematik dan memberikan impak yang maksimum.

4. Ekonomi

Bidang ekonomi Islam juga semakin pesat berkembang. Usahawan-usahawan Islam mula bangun bersaing mencuri pasaran Negara. Antara yang kita dapat lihat syarikat muslim yang telah mendapat nama adalah seperti, Permata Hijrah, Pusat Perubatan Islam (PUSRAWI), Bank Islam Berhad, stesen radio Islam, restoran-restoran milik peniaga Islam dan banyak lagi. Usahawan-usahawan ini bukan hanya menumpukan keperluan ekonomi semata-mata tetapi juga ada mesej dakwah yang disampaikan. Dari sudut makanan misalnya, penwar-waran produk makanan halal dilihat dapat menarik mereka yang bukan Islam untuk mengenali Islam malahan menjadi salah satu sebab kepada tertariknya mereka untuk memeluk Islam. Begitu juga dengan penjualan dan pengenalan kepada fesyen-fesyen busana muslimah.

Kepentingan Pengurusan Dakwah

Gerakan dakwah di Malaysia tidak akan berkembang pesat dalam kadar yang sepatutnya sekiranya corak dakwah yang mendatar tanpa ada penyusunan dan strategi yang lebih konstruktif. Jelas sebenarnya dakwah perlu dilakukan dengan sistem yang lebih terurus dan lebih sistematik.

1.Memastikan semua sektor kemanusiaan diisi dengan dakwah

Adalah rugi seandainya begitu banyak institusi dakwah di Malaysia tetapi masih gagal mengisi kesemua sektor kemanusiaan. Fokus sasaran dakwah yang tidak menyeluruh hanya akan membantutkan keberhasilan dakwah.

Jeseteru tindakan memecahkan bahagian-bahagian fokus sasaran perlu dilakukan untuk memastikan tiada golongan sasaran yang tercicir dari menerima dakwah Islam.

2.Penggunaan tenaga manusia dengan sebaiknya.

Tenaga manusia jika digunakan pada susur galur yang tidak betul boleh menyebabkan kelembapan dan kelesuan proses dakwah. Makna yang lebih jelas adalah apabila fikrah dan methode golongan tua diguna pakai dalam penyampaian dakwah kepada golongan muda. Situasi ini hanya akan menyebabkan pembaziran kerana adalah lebih berkesan sekiranya golongan muda dengan fikrah anak muda yang segar dengan idea-idea sezaman mereka difokuskan dalam pembinaan strategi dakwah golongan muda.

Begitu seterusnya dalam perancangan program, aktiviti, penubuhan kelab bahkan rancangan-rancangan television dan stesen radio perlu disistemkaan supaya lebih mengikut susr galur sasaran yang sepatutnya dengan mengunakan tenaga yang sepatutnya.

3. Penerapan nilai dakwah kepada non-muslim dan tarbiyah kepada muslim.

Strategi perlu disusun untuk bagaimana menyampaikan dakwah Islam kepada golongan-golongan yang sedia muslim atau yang bukan muslim. Corak penyampaian perlu berbeza. Perlunya ada satu badan khusus untuk menyelenggara pengurusan dakwah diperingkat mereka yang belum memeluk Islam. Bermula dari seawal dakwah hinggalah kehidupan mereka setelah mengucap kalimah mentauhidkan Allah.

Apa yang berlaku masih ramai golongan saudara baru ini yang tidak mendapat perhatian khusus setelah menganut agama Islam dan natijahnya mereka kembali semula kepada agama asal mereka.

Banyak sebenarnya alasan-alasan peri pentingnya pengurusan dakwah. Pun begitu yang paling utama adalah bagaimana satu-satu sektor itu merancang dengan teliti dan sanggup berkerjasam dengan badan lainnya dalam usaha mengembangkan dakwah.

Penutup

Sememangnya pengurusan dakwah sangat penting dalam usaha menjadikan dakwah itu lebih teratur dan sistematik. Lambakan institusi dakwah di Malaysia tidak akan dapat membantu mencapai matlamat akhir dakwah iaitu mendaulahkan Islam jika setiap institusi tidak mahu berganding duduk semeja dan merancang strategi dakwah yang lebih efisyen.
Kerana itu pentingnya penyusunan, pengaturan, pembahagian dan pemfokusan yang lebih sistematik dan tersusun dalam fokus bidang badan-badan dakwah di Malaysia.

Rujukan 

-->
[1](http://www.sabah.org.my/bm/kenali_sabah/sejarah_sabah.asp)
[2] Sejarah Parti Islam seMalaysia (PAS) (http://www.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1370&Itemid=86)
[3]www.fp.utm.my/ePusatSumber/.../FA'IZAHAP000087D2004TTP.pdf




::~ Ya ALlah dosaku Menggunung Tinggi, Dapatkah Aku melalui titian Sirot-Mu nanti..sahabat Doakan ana, mampu mengecapi Syurga-Nya. kerana diri ini terlalu banyak dosa ~::

07 February 2010

E-Voting - permainan mencabar minda

Bismillah
Alhamdulillah

UM baru sahaja tamat pilihanraya kampus. ALhamdulillah selesai sudah detik-detik genting kehidupan. Percaturan PRK kali ini tidak begitu memihak kepada Pro-Mahasiswa. Kalah tipis dengan hanya mendapat 17 kerusi dan GERAK 21 sementara bebas 3.

Sebenarnya cukup beruntung saya dicampakkan ke bumi UM. Panorama cabaran kehidupan real yang menarik. Di sini medannya dakwah sebenar. Di sini juga medannya politik sebenar. Pendek kata semua ada dan semua memberikan dugaan dan cabaran terselit pengajaran yang cukup untuk mematangkan hidup. Agak rugi sebenarnya mereka yang berada di UM tetapi tidak memanfaatkan kehidupan di sini dengan sebaiknya. Belajar banyak perkara dan berubah menjadi orang lain hanya kerana berada di UM.

Berjaya mencuri perhatian media sekaligus dunia, mahasiswa berjiwa SINGA mencatat sejarah apabila berjaya menawan bangunan canseleri. Mungkin kalau dalam konteks negara boleh juga kita katakan menawan PUTRAJAYA. Wah..Hebat betul mahasiswa Universiti Malaya. Segala detik-detik sejarah akan menjadi bahan tontonan sepanjang zaman. Itu yang berlaku di kemuncak PRK.

16 January 2010

Yakinlah bahawa ALLAH itu ada


Bismillah
Alhamdulillah

Hidup ini bukan sekadar untuk kita bersuka ria, tetapi medan untuk kita melukis satu kanvas kehidupan yang corak dan keunikannya hanya kita yang berhak ke atasnya. Meski anak kecil kalau disuruh melukis pasti lukisannya sangat comot dan kurang seni keindahannya. Malah kadang-kadang sukar untuk kita fahami apa sebenarnya yang ingin dilukisnya. Itu anak kecil yang tidak tahu apa-apa.


Padahal kita semakin hari semakin menginjak dewasa. Tahap pemikiran kita makin hari semakin matang. Kita sudah boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Jadi alasan apakah lagi maka kita terus-terus menyalahkan manusia lainnya bahkan tuhan atas kesilapan kita yang kononnya tidak tahu melukis lantas natijah kehidupan hasilnya banyak tersasar dari fitrah....kononnya...Malah kita bukan selama-lamanya anak kecil sewenang-wenangnya menjadikan alasan bahawa kita masih tidak tahu melukis dan perlu kepada tunjuk ajar dan bimbingan.


15 January 2010

Bekalan Sepanjang Jalan

 

Setiap makhluk Allah pasti punya masa sibuknya. Pasti kerap berkata dan menyangka bahawa 'saya sibuk'. Mungkin kita agak sibuk dengan tugas-tugas semasa sebagai seorang mahasiswa (saya, kerana saya mahasiswa). Saya kira kesibukan kita bukan semata-mata kerana kita bergelar mahasiswa kampus bertaraf universiti (sepatutnya), tetapi utamanya kampus berkiblatkan Islam milik ALlah. Sekaligus cuba menempatkan diri sebagai petugas amal islami.

Semalam yang lalu lalu hingga ke hari ini dan entah apa lagi esok, kita seringkali didatangi dengan kelemahan yang amat sangat dengan kehidupan yang berliku ini. Mungkin sebab tanggungjawab adakala yang kita pikul lebih besar dari diri kita, malah lebih besar dari otak kita dan kita merasakan kita bukan orang yang 'pas' untuk memegangnya.(walaupun kita suka kepada PAS)

 

FikrahNazifa Template by Ipietoon Cute Blog Design