10 November 2008

Blog, Variasi Otak





Mula mengenali dunia blogger sejak saya menuntut di Asasi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kampus Nilampuri..Pada saat itu Blogspot belum maju seperti sekarang. Kala itu jika hendak menghiasi blog secantik adunan citarasa perlu kepada bersengkang mata meng'edit' kod-kod HTML yang adakala membawa pitam sebentar. Tambah lagi jika masih baru mula berjinak-jinak dalam dunia HTML..

Dan kini banyak kemudahan baru yang ditawarkan oleh blogspot menyebabkan blogspot berjaya mendapat tempat antara tertinggi di hati blogger-blogger malah juga mereka yang baru terfikir untuk membuat blog.

Dan kewujudan Fikrah Nazifa setelah sampai juga ke angka 5 blog saya yang sebelum ini semuanya telah saya hapuskan atas hujah untuk memulakan 'hidup baru' bersama blog yang baru. Alhamdulillah, natijahnya blog yang satu ini berjaya menempatkan dirinya di sisi saya sebagai 'sahabat karibku'..

Percambahan Minda

Sememangnya tidak saya nafikan bahawa 'Fikrah Nazifa' ini banyak membantu percambahan minda saya. Saban hari memikirkan apa artikel yang akan saya isi ke dalamnya lantas menjadikan saya bertambah rajin untuk membaca dan menelaah bahan-bahan yang boleh dijadikan rempah-ratus dalam penulisan.

Dan saya percaya blogger-blogger yang lain juga begitu. Mencari sesuatu untuk dikongsi dengan orang ramai sambil berkongsi ilmu dan juga dakwah tulisan. Adakala hingga tidur juga diganggu dengan bayangan-bayangan hasil pembacaan dan juga hasil tulisan.

Medium Menjalin Ukhuwah

Meletakkan ruangan chat tidak kiralah dari jenama apapun cbox, shoutbox atau shoutmix atau apa-apa saja yang menawarkan widget chat ini, menjadi medium yang sangat berkesan dalam membantu menjalin ukhuwah.

Menarik, setiap kali sahabat-sahabat maya atau realiti datang berziarah, mereka biasanya akan meninggalkan kata-kata 'jejak peninggalan' mereka di ruangan chat. Tautan ukhuwah ini adakala berkesinambungan hingga saling mengenali lalu ukhuwah terjalin dengan rasminya.Yang menyeronokkan, ukhuwah pendakwah-pendakwah maya ini biasanya didasari dengan ukhuwah Fillah. InsyaAllah.

Ziarah dan Lalu-Lalang

Adakala sesuatu artikel yang ditulis oleh para blogger akan dibaca oleh pengunjung-pengunjung. Adakala hanya sekadar lalu-lalang sahaja tanpa sempat meneliti dan membaca. Tapi seharusnya bagi para penziarah blog, apabila menjengguk dan berziarah biarlah sempat membaca artikel yang ada. Kerana pasti terselit ilmu baru dari setiap posting yang ada.

Pun begitu ada juga antara penziarah yang sudi memberikan komen dan pendapat untuk sesuatu posting. Menurut saya penziarah seperti ini memang berhati mulia dan pencinta ilmu juga suka kepada perkongsian idea. (moga saya juga seperti itu).
Tapi adakala, ada juga yang hanya saja-saja membuat huru-hara dan kontroversi maya. Dan menurut saya mereka yang seperti ini mungkin dahagakan perhatian dan sokongan.



Perompak Maya

Tidak cukup sekadar hanya berkongsi pendapat, adakala artikel itu dipinjam oleh penziarah untuk dimuatkan dalam blog miliknya atau adakala sebagai koleksi peribadi. Kalau saya sendiri selalunya memilih hanya untuk dijadikan koleksi peribadi tanpa lupa me'notis'kan dari mana saya mendapat artikel tersebut sebagai menghargai hasil penulisan pemiliknya tapi adakala jika artikel itu dilihat bermanfaat saya jesteru akan men'cetak-rompak' hasil tulisan itu ke blog saya..

Walaubagaimanapun saya berpegang bahawa hasil isi maya ini diletakkan tanpa 'security'. Ini bermakna sesiapa pun berhak mengambilnya tetapi biarlah dengan niat dan tujuan yang baik. Minta dijauhkan dengan adanya perompak maya yang sengaja mengambil bahan dari dunia maya ini untuk kepentingan diri.

Rehlah Maya

Membaca bahan-bahan dari dunia maya ini adakala terasa berkelah di tepi pantai. Ketenangan menjengah diri seperti hembusan bayu pantai. Tenang membaca dan meluangkan masa mengutip ilmu. Apa lagi kalau dapat menemui blog atau web yang hasil dekorasinya sangat kreatif.

Membaca dan meneliti sambil didendangkan dengan lagu-lagu dari blog tersebut menambahkan lagi perisa bacaan yang sedia ada. Adakala hati tersentuh menimbul insaf dan terasa sendiri ladanya pedas dengan hasil bacaan. Begitulah hebatnya kuasa mengutip ilmu Akhirat berbanding menelaah bahan-bahan picisan yang hanya menambah gelapkan hati.

Hakikatnya menjadi blogger atau menjadi pembaca blog banyak impak positifnya. Seronok dan menyeronokkan. Gembira dan mengembirakan walau adakala ada juga sedih dan menyedihkan..

Walauapapun semoga kita semua menjadi insan yang memaksimakan penggunaan teknologi untuk usaha dakwah dan jihad Islam.

http://nazifatunnisa.blogspot.com
http://cerpenislamic-nazifa.blogspot.com
http://generasiit-nazifa.blogspot.com

2 Perkongsian:

  1. assalamualaikum...
    kakak...ni azimah...tlg bah saya buat blog punya hiasan...huhu

    ReplyDelete
  2. waalaikummussalam

    bleh ja dik..kak da balik um ni..nnt kita online ya

    hehe..kak pun bukan pandai sangat bah

    ReplyDelete

 

FikrahNazifa Template by Ipietoon Cute Blog Design