23 November 2008

Tom-Tom Bak – Mendidik atau MEROSAK





Pasti ramai antara anda gemar melihat telatah kanak-kanak. Telatah jiwa-jiwa kecil yang bersih dan suci. Telatah anak-anak yang masih putih tanpa mengenal apa ertinya dosa dan pahala. Telatah gelagat manja yang perlu perhatian dan belaian. Telatah comel yang mampu mencuit sebegitu banyak hati. Telatah selamba yang menghilang segala kerunsingan bahkan menghapuskan seluruh masalah dunia yang bersarang dibenak fikiran. Juga telatah tulus dan mulus seorang insan kecil yang menerbitkan rasa dengki dihati ingin menjadi seperti mereka, bebas seperti burung boleh tersenyum, menangis, keriangan, marah, melakukan apa sahaja tanpa terbeban dengan masalah yang menghimpit, tanpa terbeban dengan jiwa yang kotor dengan dosa, tanpa terbeban dengan kemarahan dan reaksi kurang sopan manusia bahkan terus saja dibelai walau adakala gerak laku mereka mengeramkan hati, terus saja mendapat perhatian dan kasih sayang. Itulah kuasa jiwa yang suci dan bersih. Dan merekalah sebenarnya jiwa-jiwa yang juga suatu hari nanti akan mengemparkan dunia walau apapun dan di manapun peranan mereka dalam sudut dunia. Itulah zaman istimewa seorang insan.

Jika anda gemar melihat telatah mereka, pasti anda juga gemar melihat siaran television yang meletakkan 99% peratus hero dan heroinnya adalah kanak-kanak iaitu Tom-Tom Bak (TTB). Hanya 1% sahaja yang menambahkan lagi keceriaan program rancangan itu dengan penonjolan watak seorang ‘bapa kanak-kanak’ iaitu Aznil Nawawi.

Saya sendiri sangat suka menonton rancangan itu. Melihat Tom-Tom Bak sangat mencuit hati, bahkan kalau disusun 10 filem bertaraf dunia dan yang ke-11 adalah Tom-Tom Bak, mungkin saya akan memilih Tom-Tom Bak untuk ditonton.

Haziq dan kini Alisya


Kalau dulu watak utama TTB adalah seorang budak lelaki bernama Haziq yang petah berkata-kata dan sangat sayang kepada Uncle Aznil. Saya masih ingat ketika pertama kali Haziq muncul di television dalam rancangan Akademi Fantasia (moga tidak silap), yang meluru kepada Aznil dan terus melafazkan rasa sayangnya pada Aznil berkali-kali dengan menghadiahkan ciuman dan pelukan molek seorang anak kepada Aznil. Lalu hati ‘kebapaan’ Aznil ditambah dengan air matanya yang begitu murah untuk mengalir (kan setiap kali Pelajar AF keluar dia pasti menitiskan air mata..hebat ukhuwah mereka) menjadikan ‘moment’ itu sangat tragis dan syahdu (strategi menaik saham yang ampuh).

Kali seterusnya, haziq dijemput lagi menjadi tetamu dalam rancangan Macam-Macam Aznil Segmen Anakku. Sekali lagi drama anak dan ayah dimainkan. Tetapi saya percaya bahawa Haziq tidak berpura-pura, itulah bukti jiwa bersih yang mulus dan tulus. Ikhlas pada perbuatannya. Beruntung Aznil disayanggi oleh anak sekecil itu. Seronok melihat telatah Haziq. Dan akhirnya Haziq dipilih menjadi hero utama dalam rancangan TTB.

Kini TTB telah memasuki musim kedua. Tiada lagi Haziq sebagai hero, tetapi diganti oleh heroin pula bernama Alisya (bukan ejaan sebenar kot). Tidak kurang kecomelan dan kepetahannya dari Haziq, Alisya terus menjadi penceria TTB.

Hanya saya belum sempat melihat walau satu episode dari musim kedua ini kerana duduk di Universiti Malaya memerlukan partisipasi yang lebih kepada gerak kerja berfaedah berbanding duduk selamba depan television yang letaknya diruang legar lalu lalang orang.

Gelagat yang mencuit hati

Seperti sunnahnya gelagat anak kecil yang sangat membuatkan hati tercuit, TTB berjaya memanipulasikan telatah kanak-kanak yang ‘nature’ sebagai ‘alat mencari keuntungan’. Maaf kasar bunyinya saya gantikan statement ‘alat mencari keuntungan’ dengan ‘untuk menghiburkan sekalian banyak masyarakat’. Dengan jawapan-jawapan spontan dari anak-anak yang menjadi tetamu menjadikan suasana di studio juga dimana sahaja rancangan itu ditonton ceria dengan gelak tawa. Itulah kuasa jiwa yang bersih. Mudah menghiburkan orang.

Cungkilan Bakat yang Mempesona

Pernah suatu saat dahulu saya tertanya-tanya bagaimana rasanya jadi pelakon.

“Tetapi kalau mau jadi pelakon nanti dah besar baru boleh jadi.”

Dialog saya dalam hati. Tapi bukan bermakna saya menanam hasrat mahu jadi pelakon..Nauzubillah.. Kerana belum sempat hasrat itu tertanam, ia lebih dulu mati dengan amaran dari seorang ibu yang sayangkan anaknya. Terima kasih mak..

Tetapi dialog kecil hati saya 14 tahun dulu sudah tidak relevan diutarakan pada masa kini. Berjuta-juta ruang disediakan untuk kanak-kanak muncul sebagai pelakon. Hebatnya kuasa jiwa yang suci. Dan antara medan mencungkil bakat kanak-kanak adalah TTB. Lakonan, nyanyian, dikir barat, tarian, bermain alatan muzik, tradisional, internasional semua ruang sudah terbuka melalui TTB.

Walaupun ini dilihat sebagai peluang, tetapi saya berpendirian bahawasanya ini dipanggil bukan peluang, tetapi perosak jiwa suci dan bersih. Di sinilah kritikkan saya bermula, maaf tetapi saya perlu menyatakannya. Membuka mata saya sendiri juga orang ramai yang ditakdirkan Allah untuk membaca artikel ini.

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

“melentur buluh biarlah dari rebungnya”
. Seluruh dunia mengakui peribahasa ini
benar. Dan TTB sepertinya adalah medan yang bukan melentur buluh, tetapi mematahkan buluh. Pembunuhan karekter bersih dan suci secara dalaman . Anak kecil harus dididik dengan didikan sempurna. Mengenal Allah dan Rasul, ditanam Iman dan Taqwa. Agar besar nanti taat pada agama dan menjadi harapan bangsa. Tetapi TTB malah mengambarkan bahawa kritikalnya institusi kekeluargaan dalam melahirkan insan soleh dan musleh. Hamba Allah yang beriman, melawan fitrah sebenar manusia.

[16.] (Luqman berkata): "Hai anakku, Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. [17.] Hai anakku, Dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan Bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Surah Al-Loqman : 16 dan 17

Pesanan yang jelas terkandung dalam surah Al-Luqman. Ayat di atas jelas menunjukkan bahawasanya Allah memberi contoh kepada sekalian yang bergelar bapa (juga ibu) agar mengajar anak mereka mendirikan solat, amar ma’ruf nahi mungkar, juga sentiasa bersabar.

Persoalannya, adakah dengan apa yang kita lihat di TTB, apabila anak-anak di ajar mendewakan budaya Barat, anak-anak diajarkan mendedahkan aurat, anak-anak diajarkan bersifat dan berbicara kurang sopan, anak-anak diajarkan hidup gaya ‘up to date’ menari, menyanyi ala inul, berpakaian berlawanan dengan fitrah jantina dan berbagai lagi yang pada hemat fikiran waras semua itu tidak akan membawa kepada mendidik anak-anak kepada apa yang diajarkan Islam.

Berbalik kepada pepatah“melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika anak-anak dididik seawal usia dengan selesa melakukan perkara-perkara yang mungkar walau sekecil biji sawi, pasti bila besar nanti didikan ‘gaya lenturan’itulah yang akan dikenderai hingga dewasa kelak dan pasti perkembangan jiwa dan fikiran mereka akan bergerak selaras dengan gaya lenturan itu. Maka akan lahirlah insan yang menderhaka kepada ibu bapa, insan yang saban hari duduk berfoya-foya, insan yang dengan berani menentang agama, insan yang bernaluri songsang lebih memilih pengkid dan lesbian belum sentuh lagi bab zina, insan yang tidak mengenal erti kehidupan bahkan lebih teruk insan yang tidak mengenal Allah.. Menakutkan bunyinya..Nauzubillah..

Jalan Penyelesaian?

Bagaimana agaknya jika setiap institusi kekeluargaan itu harmoni dengan suasana nyaman Islam. Rumah yang tenang dengan alunan Al-Quran, solat berjemaah setiap waktu, amalan-amalan sunat bahkan qiammullail setiap malam, sang ayah saban hari selepas solat memberikan mutiara berharga kepada anak-anak sebagai pesanan dan bekalan menempuhi dunia. Sang Ibu yang sentiasa menyediakan makanan dengan bertasbih kepada Allah menambah sedap dan berkatnya hidangan. Ditanam dalam hati anak-anak akan keindahan peribadi bertalikan akidah Islam. Kukuh dan eratnya tali itu sehingga ikatannya tidak terbuka walau di manapun si anak berada hinggalah dia dewasa.

Pasti akan lahir dari lubuk keluarga itu, insan yang benar-benar beriman, insan yang meneranggi jalan disetiap laluannya, insan yang membawa harum ke segenap penjuru duduknya. Bayangkan jika itulah yang akan lahir dari SETIAP institusi kekeluargaan, maka akan teranglah dunia. Akan harumlah semesta. Subhanallah!!!..
Dan itulah jalan penyelesaian paling ampuh untuk segala kerosakan dunia. Mungkin ada baiknya TTB beralih kepada matlamat lebih jitu iaitu dengan berhijrah kepada tema mendidik anak-anak dengan sebenar didik. Mencungkil bakat nyanyian Al-Quran, bakat lakonan iman, lengok tarian solat, berdikir Mekkah, dan berfesyenkan Taqwa.. MasyaAllah.. Subhanallah..

Untuk akhirnya, diri ini bukanlah insan yang layak untuk menilai, apa lagi untuk menyatakan bahawa “akulah insan yang akan merancang landskap dunia”..hanya diri ini merasakan perlunya terbit kesedaran dihati setiap dari kita akan kepentingan menyedari hakikat

56. Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

surah ad-dzariat : 56


Bahawa kita dihidupkan hanya untuk beribadah dan menghambakan diri kepada Allah..

Allahua’lam…

p/s : Maafkan segala salah silap ana hamba yang kerdil lagi hina dan penuh dengan dosa…








JORDAN..

5 Perkongsian:

  1. Salam ziarah kali pertama..pada mulanya saya ingatkan enti menyokong TTB..bila dibaca sehingga akhir barulah tahu hakikatnya.

    Apapun satu ulasan yang baik. Saya sendiri rasa muak dengan rancangan hiburan sebegini. Seumpama sudah kehabisan idea untuk dibuat rancangan. Agaknya apa akan jadi generasi masa depan jikalau ceritera seperti ini masih diteruskan..

    P/S : Kalau ada masa jemputlah datang ke blog saya..lontarkan idea bernas..

    ReplyDelete
  2. Mmg negara kita dipenuhi acara sebegini. Bkn ape..."kita" yg berpengetahuan dan arif dlm bidang agama cuma tahu memberi komen dan bercakap saje. Mereka yg menghidangkan hiburan sedemikian rupa lebih kreatif dan byk berfikir berbanding "kita". "kita" seharusnya sedar...setiap ruang yg kosong akan di isi dgn sesuatu, Kalau bukan "kita" yg memenuhi ruang kosong itu, sudah pasti benda lain yg terlebih dahulu mengisinye. So jgn persalahkan mereka yg mengisi, sebaliknye pikirkan kenapa bukan "kita" yg arif ni xmenjalan kan tugas untuk mengisi.....

    ReplyDelete
  3. salam buat khazani..

    ana setuju dengan kata-kata khazani tu..memang betul "kita" lah yang sepatutnya mengisi kekosongan itu. "kita" sememangnya perlu mengisi setiap ruang dan peluang demi dakwah islam. Selangkah dunia maju kehadapan, kita perlu seribu langkah lagi mendahului massa..

    Alangkah bagusnya jika semua "kita" sedar akan hakikat itu lantas mampu membidas dan merebut segenap ruang dan peluang demi daulah islam..

    Hanya hati kecil ana yakin bahawasanya "kita" memang ke arah itu, kerana hasilnya sudah nampak walau hanya kecil belum besar..

    Semoga penguasaan kita dalam segala ruang akan bergerak lebih pantas. aminn

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...

    coretan yg ckup bernas dari seorg islam seperti enti fikrah nafiza.

    ana pernah rs pelik ble mlihat betapa anehnya ibu bapa yg membenarkan anak2 mreka d ddik sedemekian rupa...apakah mreka tdak mrancang ape yg bakal menjadi teladan 'bekas kandungn rahim' mereka utk berjalan d bumi ALLAH ni..

    Moga kite blh bersama berusha memperbaiki dri kite utk jd teladan kpd anak2 kite terlbih dhulu...then kpada jiran2 supaya daulah islami ttap mekar d hati kite yg masih d cmpakkan nur utk mencari redhaNYA....

    Amin.....(syukran kpd akhi khazani krana mmbuka minda ana yg smakin hari,makin jauh dr sinarNYA)

    ReplyDelete
  5. saya pernah terbaca d surt khabar, ketika itu sedang hangat dengan berita pernikahan mawi dan ekin. sewaktu majlis akad nikah dilakukan, bagi yang tidak menontonnya mahupun yang tidak mengambil tahu akannya, terdapat satu slot dimana doa ketika itu dibacakan oleh seorang budak kecil, dan terdapat komen daripada seorang pembaca yang mengatakan lebih kurang bunyinya, dia merasakan seolah-olah pernikahan itu adalah sesuatu yang dibuat main2 kerana budak kecik yang membaca doa, apakah diorang ingat ini rancangan Tom Tom Bak.. sedikit kekesalan atas kesingkatan akal fikiran peng'komen' itu kerana manakan sama rancangan tom tom bak yang mendidik anak2 jauh lebih rosak berbanding anak2 yang belum pun akil baligh yang dididik dengan kebolehan yang sangat hebat; membaca doa untuk kedua mempelai dengan bacaan doa imam makkah..
    tidakkah itu sangat hebat berbanding dengan "hebat" anak2 yang menyertai TTB??..
    fikir2kn..
    Allahua'lam..

    ReplyDelete

 

FikrahNazifa Template by Ipietoon Cute Blog Design