Semalam hari raya qurban. Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk anda semua yang berugama Islam Semoga kita sama-sama menghayati apa makna disebalik sambutan hari kebesaran Islam ini. Semalam saya pergi ke Majlis Qurban anjuran PMIUM dengan kerjasama Surau Al-Ikhlas. Terima kasih buat semua yang terlibat.
Untung kerana saya berjumpa seorang puteri. Puteri yang comel dan petah bercakap. Terhibur. Namanya Puteri Damia. Nama kakaknya Puteri Batrisya, dan nama adik bongsunya Putera Haras mungkin baru dua tahun lebih. Menarikkan.
Pada mulanya saya saja-saja hendak bertanya dan mengacau kedamaian jiwa kecil itu. Dek kerana bosan tidak ada lagi kerja yag boleh dibantu, saya berpindah minat kepada anak-anak kecil yang seronok bermain. Rupanya saya bertemu dengan seorang penglipur lara yang bijak berkata-kata. Tebakan yang tepat nampaknya. Dari cerita istana hingga ke cerita mahkota, kadang-kadang terselit kisah Pontianak. Lagi kisah raja, putera dan puteri hingga ke kisah permaisuri. Ada bau-bau kisah dogeng alam Disney dalam ceritanya. Yang pasti puteri seronok bercerita. Bila ada orang lain yang bercerita, dia segera merengek mahu ceritanya pula didengar. Bak kata emaknya, Damia kalau tidur sahaja berhenti dari bercakap. Banyak sungguh kisah yang ingin dia kongsikan. Puteri..puteri.. Imaginasi anak kecil. Ceritanya boleh di cd kan. Katanya istananya besar, mahkotanya pula ada blink-blink (berkilau) maksudnya, dia ada banyak harta karun. Lain lagi kisah puteri dan putera raja, ada campuran kisah the red riding hood, dan snow white, puteri yang dimakan serigala, diselamatkan oleh nenek kebayan (entah kisah dari mana dalam Disney yang nenek kebayan jadi baik) dan berjumpa putera raja.