Aktiviti dakwah di Malaysia sejak akhir-akhir ini semakin rancak dengan penglibatan pelbagai persatuan dan institusi dakwah. Keadaan ini sebenarnya boleh dilihat sebagai satu keuntungan kepada perkembangan dakwah di Malaysia. Walaupun begitu, rancaknya usaha dakwah institusi-institusi ini adakala kurang memberi impak yang besar kepada citra penyebar-luasan dakwah itu sendiri. Keadaan ini berlaku antaranya disebabkan oleh sistem pengurusan dakwah yang kurang sistematik dan perancangan yang kurang teliti sama ada diperingkat dalaman institusi atau diperingkat kesatuan dan penyelarasan kepada usaha dakwah.
Oleh yang demikian usaha pemantauan kepada semua institusi ini sama ada yang bergerak bersendirian atau berada dalam satu organisasi di bawah kerajaan atau bukan kerajaan perlu dilakukan untuk memastikan usaha dakwah Islam di Malaysia menampakkan hasil yang memberansangkan.
Masyarakat Islam di Malaysia
Malaysia terkenal dengan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai adat dan budaya. Kepelbagaian ini ditambah lagi dengan komuniti masyarakat Sabah dan Sarawak yang berbilang bangsa. Kepelbagaian bangsa ini tidak menghalang dari tersebarnya dakwah Islam keseluruh pelosok Negara.
Masyarakat yang terdapat di Malaysia antaranya masyarakat Melayu yang menghuni Semenanjung Malaysia mempunyai latar belakang agama Islam sejak sebelum tertubuhnya gagasan Malaysia ketika mana penyebaran Islam giat dilakukan oleh pedagang Arab ketika itu. Sementara itu di Sabah dan Sarawak Islam mula tersebar apabila berada di bawah pemerintahan Sultan Brunei (pada awal abad ke 15) .
Pengabungan gagasan Malaysia; Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menjadikan komuniti Islam di Malaysia terbahagi kepada kepelbagaian majmuk. Walaupun begitu, penyebaran Islam juga berjalan pesat seperti mana pesatnya pembangunan Malaysia.
Kepelbagaian institusi dakwah
Tumbuhnya pelbagai institusi dakwah di Malaysia membantu mengiatkan lagi usaha penyebaran dakwah Islam. Institusi ini sama ada dari badan kerajaan atau bukan kerajaan dilihat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sama-sama menumpukan kepada matlamat mendaulahkan Islam terlaksana di bumi Malaysia.
Antaranya seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Islam negeri, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) dan banyak lagi yang mempunyai peranan, matlamat , penumpuan, visi dan misi masing-masing.
Walaupun begitu apa yang dibimbangi adalah pembaziran tenaga sama ada di sudut wang ringgit, manusia ataupun pelaksanaan program, projek, pembinaan pusat-pusat dakwah dan sebagainya yang sia-sia dalam usaha mereka. Ini kerana kelebihan pelbagainya intitusi dakwah ini wajar digunakan dengan sebaiknya dengan penyusunan yang lebih teratur dan sistematik untuk penghasilan impak dakwah yang lebih besar.
Pengurusan dakwah
Nabi kita Muhammad S.A.W memperkenalkan dakwah Islam secara berperingkat-peringkat. Bermula dari peringkat permulaan yang dilakukan secara rahsia selama 13 tahun. Setelah diyakini pengikut baginda yang ramai dan atas perintah Allah S.W.T yang memerintahkan baginda untuk memulakan dakwah secara terbuka barulah baginda menyebarkan Islam secara-terang-terangan. Begitulah sirah Rasulullah yang mengajar betapa pentingnya strategi dalam dakwah. Baginda sendiri adalah qudwah hasanah yang perlu untuk dicontohi termasuklah kepelbagaian method dakwah dan pengurusannya.
Pengurusan dakwah boleh di bahagikan kepada pengurusan di sektor-sektor tertentu dalam aktiviti kemanusiaan. Antaranya yang boleh dihuraikan dalam artikel ini adalah berkenaan pengurusan dari sudut pendidikan, politik, wanita, dan ekonomi.
1. Pendidikan
Pemfokusan dakwah dalam konteks pendidikan sebenarnya memberikan ruang yang besar kepada penerimaan masyarakat. Di Malaysia penerapan nilai pendidikan Islam sudah memasuki semua peringkat usia. Bermula dari peringkat awal kanak-kanak, dengan pembukaan pusat asuhan kanak-kanak Islam, pusat belajar mengaji dan sebagainya. Seterusnya di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan pembelajaran formal pendidikan agama Islam di sekolah dan seterusnya peringkat yang lebih tinggi yang menjurus kepada penglibatan diri sendiri umpamanya di universiti, kembali kepada setiap individu sama ada mahu memilih bidang pengajian agama atau sebaliknya.
Sistem pendidikan kita di Malaysia walaupun sudah berusaha menitik beratkan aspek keagamaan, namun dilihat masih belum berjaya sepenuhnya mendidik manusia mengenal Islam seterusnya membantu ke arah penyebaran dakwah Islam. Namun begitu badan-badan dakwah yang terdapat di Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mengisi kekosongan dan kelompangan yang ditinggalkan oleh badan bertangungjawab ke atas sistem pendidikan.
Jika di nilai dari sudut pembahagian tersebut, kita dapat lihat sektor-sektor pendidikan sebenarnya diisi oleh pelbagai usaha dakwah oleh badan-badan bukan kerajaan mahupun badan kerajaan lainnya. Umpamanya penubuhan tadika ABIM, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), pusat-pusat didikan tambahan agama Islam, institusi-institusi latihan dakwah seperti Darul Quran, Pusal Latihan Dakwah (PLD), pusat-pusat belajar Islam bagi golongan muallaf dan juga pondok-pondok agama.
Walaupun begitu penyatuan dan susunan sistem yang lebih sistematik perlu dilakukan untuk memastikan usaha dakwah ini memberikan impak yang maksima.
2. Politik
Badan dakwah di Malaysia yang dilihat benar-benar memasuki arena politik adalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Dari sudut pencapaian PAS, apa yang kita dapat lihat adalah apabila penguasaan mereka terhadap negeri Kelantan memberikan ruang dan peluang dakwah yang cukup besar. Sehingga ke hari ini, Kelantan terkenal dengan penduduknya yang mempunyai taraf ilmu agama yang tinggi. Malahan banyak ulama-ulama zaman lahir daripada negeri tersebut. Pengamalan budaya Islam yang tinggi di negeri tersebut juga sedikit sebanyak membuktikan bahawa PAS mempunyai sistem pengurusan dakwah yang teratur bahkan Kelantan adalah negeri yang menunjukkan peningkatan pengislaman saudara baru .
Jika dilihat Malaysia keseluruhannya, corak politik Malaysia walaupun kita mempunyai badan politik Islam PAS misalnya, namun perkembangan dakwah Islam masih belum begitu memberansangkan malahan masih berlaku peningkatan umat Islam sendiri yang keluar daripada Islam. Ini bertitik tolak juga kepada penyusunan dan pengurusan yang kurang strategik malah juga melibatkan kepentingan sesetangah pihak.
3. Wanita.
Golongan wanita mempunyai peranan yang sangat penting dalam perkembangan dakwah di Malaysia malah seluruh dunia. Frasa ‘wanita mampu mengoncang dunia’ sering kali diguna pakai sebagai satu simbolik bahawa wanita mempunyai kuasa yang sangat besar dalam percaturan rentak perjalanan dunia. Namun, sejauh mana frasa tersebut benar-benar memberikan makna yang sebenar dalam konteks dakwah?
Kita sedia maklum bagaiman Islam itu sendiri datang dan memuliakan kedudukan wanita. Jika dulu bayi kanak-kanak dibunuh hidup-hidup atas alasan lahirnya mereka hanya akan mengundang bala dalam kehidupan. Datangnya Islam yang di bawa oleh Rasulullah ketika itu mengangkat martabat wanita dan bermulanya peranan penting wanita dalam sejarah dunia. Malah Allah meningkatkan martabat wanita sehingga di dalam Al-Quran terdapat surah an-Nisa (wanita).
Namun usaha dakwah oleh wanita sendiri masih dilihat layu. Jika dilihat dari peranan wanita itu sendiri, pertama sekali kuasa mereka sebagai seorang ibu dan pengasuh kepada anak-anak perlu dimanfaatkan semaksimanya. Bayangkan saja seandainya semua ibu-ibu mengasuh anak mereka dengan didikan dan asuhan agama yang mencukupi, pasti akan lahir dari setiap keluarga itu asset-aset insan yang benar-benar mendaulahkan Islam dalam diri seterusnya memakmurkan Negara dan dunia dengan sinar Islam.
Yang paling menjadi keutamaan sebenarnya adalah bagaimana stategi pengurusan dakwah itu diatur sebaiknya sehingga segala sektor-sektor kemanusiaan dan juga pembahagian misi dan visi dakwah itu disusun secara sistematik dan memberikan impak yang maksimum.
4. Ekonomi
Bidang ekonomi Islam juga semakin pesat berkembang. Usahawan-usahawan Islam mula bangun bersaing mencuri pasaran Negara. Antara yang kita dapat lihat syarikat muslim yang telah mendapat nama adalah seperti, Permata Hijrah, Pusat Perubatan Islam (PUSRAWI), Bank Islam Berhad, stesen radio Islam, restoran-restoran milik peniaga Islam dan banyak lagi. Usahawan-usahawan ini bukan hanya menumpukan keperluan ekonomi semata-mata tetapi juga ada mesej dakwah yang disampaikan. Dari sudut makanan misalnya, penwar-waran produk makanan halal dilihat dapat menarik mereka yang bukan Islam untuk mengenali Islam malahan menjadi salah satu sebab kepada tertariknya mereka untuk memeluk Islam. Begitu juga dengan penjualan dan pengenalan kepada fesyen-fesyen busana muslimah.
Kepentingan Pengurusan Dakwah
Gerakan dakwah di Malaysia tidak akan berkembang pesat dalam kadar yang sepatutnya sekiranya corak dakwah yang mendatar tanpa ada penyusunan dan strategi yang lebih konstruktif. Jelas sebenarnya dakwah perlu dilakukan dengan sistem yang lebih terurus dan lebih sistematik.
1.Memastikan semua sektor kemanusiaan diisi dengan dakwah
Adalah rugi seandainya begitu banyak institusi dakwah di Malaysia tetapi masih gagal mengisi kesemua sektor kemanusiaan. Fokus sasaran dakwah yang tidak menyeluruh hanya akan membantutkan keberhasilan dakwah.
Jeseteru tindakan memecahkan bahagian-bahagian fokus sasaran perlu dilakukan untuk memastikan tiada golongan sasaran yang tercicir dari menerima dakwah Islam.
2.Penggunaan tenaga manusia dengan sebaiknya.
Tenaga manusia jika digunakan pada susur galur yang tidak betul boleh menyebabkan kelembapan dan kelesuan proses dakwah. Makna yang lebih jelas adalah apabila fikrah dan methode golongan tua diguna pakai dalam penyampaian dakwah kepada golongan muda. Situasi ini hanya akan menyebabkan pembaziran kerana adalah lebih berkesan sekiranya golongan muda dengan fikrah anak muda yang segar dengan idea-idea sezaman mereka difokuskan dalam pembinaan strategi dakwah golongan muda.
Begitu seterusnya dalam perancangan program, aktiviti, penubuhan kelab bahkan rancangan-rancangan television dan stesen radio perlu disistemkaan supaya lebih mengikut susr galur sasaran yang sepatutnya dengan mengunakan tenaga yang sepatutnya.
3. Penerapan nilai dakwah kepada non-muslim dan tarbiyah kepada muslim.
Strategi perlu disusun untuk bagaimana menyampaikan dakwah Islam kepada golongan-golongan yang sedia muslim atau yang bukan muslim. Corak penyampaian perlu berbeza. Perlunya ada satu badan khusus untuk menyelenggara pengurusan dakwah diperingkat mereka yang belum memeluk Islam. Bermula dari seawal dakwah hinggalah kehidupan mereka setelah mengucap kalimah mentauhidkan Allah.
Apa yang berlaku masih ramai golongan saudara baru ini yang tidak mendapat perhatian khusus setelah menganut agama Islam dan natijahnya mereka kembali semula kepada agama asal mereka.
Banyak sebenarnya alasan-alasan peri pentingnya pengurusan dakwah. Pun begitu yang paling utama adalah bagaimana satu-satu sektor itu merancang dengan teliti dan sanggup berkerjasam dengan badan lainnya dalam usaha mengembangkan dakwah.
Penutup
Sememangnya pengurusan dakwah sangat penting dalam usaha menjadikan dakwah itu lebih teratur dan sistematik. Lambakan institusi dakwah di Malaysia tidak akan dapat membantu mencapai matlamat akhir dakwah iaitu mendaulahkan Islam jika setiap institusi tidak mahu berganding duduk semeja dan merancang strategi dakwah yang lebih efisyen.
Kerana itu pentingnya penyusunan, pengaturan, pembahagian dan pemfokusan yang lebih sistematik dan tersusun dalam fokus bidang badan-badan dakwah di Malaysia.
Rujukan
-->
[1](http://www.sabah.org.my/bm/kenali_sabah/sejarah_sabah.asp)
[2] Sejarah Parti Islam seMalaysia (PAS) (http://www.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1370&Itemid=86)
[3]www.fp.utm.my/ePusatSumber/.../FA'IZAHAP000087D2004TTP.pdf
::~ Ya ALlah dosaku Menggunung Tinggi, Dapatkah Aku melalui titian Sirot-Mu nanti..sahabat Doakan ana, mampu mengecapi Syurga-Nya. kerana diri ini terlalu banyak dosa ~::